Daun Belalai Gajah


Daun Belalai Gajah


Anda pernah dengar tentang khasiat daun belalai gajah? Dewasa kini, daun belalai gajah yang digelar Snake Grass dalam bahasa Inggeris (nama ilmiah Clinacanthus nutans) semakin menarik perhatian penduduk di rantau Asia, terutamanya di negara-negara seperti Malaysia, Singapura, Thailand, China dan juga India. Herba ini turut dikenali dengan nama You Dun Chao di China. Publisiti meluas tentang daun herba ini adalah disebabkan oleh khasiatnya yang ketara dari segi kesihatan dan perubatan. Malah, sejak kebelakangan ini pelbagai jenis produk kesihatan yang mengandungi ekstrak daun belalai gajah ada dijual di pasaran, contohnya seperti jus belalai gajah, serbuk kopi belalai gajah dan teh uncang belalai gajah.

Berasal dari keluarga tumbuhan acanthaceae, daun belalai gajah adalah tumbuhan herba yang senang membiak melalui keratan batangnya yang kecil dan lembut. Ia berdaun panjang, sesuai hidup dalam iklim tropikal dan mudah tumbuh jika ditanam di kawasan perkarangan rumah. Hasil kajian telah menunjukkan bahawa daun belalai gajah mengandungi ciri-ciri antioksida yang kuat serta mempunyai kandungan flavonoid yang tinggi, iaitu suatu komponen antioksidan yang mampu bertindak sebagai antivirus dan berkesan melindungi struktur sel-sel dalam badan. Kandungan vitamin C dalam daun ini amat tinggi, menjadikannya berupaya untuk menghapuskan radikal bebas dalam badan. Di samping itu, daun belalai gajah juga mengandungi asid amino dan pelbagai jenis mineral seperti fosfor, kalsium dan magnesium. Ia tidak mengandungi sebarang unsur toksik.

Sebelum ini, pasti ramai yang tidak menyangka bahawa daun herba yang enak dibuat ulam ini rupanya mampu dijadikan penawar penyakit kanser, seperti kanser prostat, kanser payudara dan kanser paru-paru. Pengambilannya dipercayai dapat melambatkan pertumbuhan sel-sel kanser di dalam badan di samping melawan sel-sel kanser yang sedia ada. Meskipun belum dibuktikan secara saintifik, sudah banyak testimoni yang diterima dari pesakit-pesakit kanser yang menceritakan bagaimana pengambilan daun belalai gajah telah membantu mengurangkan penderitaan yang mereka alami. Ramai yang memberi testimoni bahawa daun belalai gajah telah menyebabkan ketumbuhan atau tumor di dalam badan mereka mengecut dan mengecil. Ada yang sepatutnya perlu dibedah tetapi akhirnya selamat dari dibedah, hasil dari keberkesanan pengambilan daun belalai gajah.


Daun Belalai Gajah
Daun Belalai Gajah
Testimoni yang paling terkenal datangnya dari seorang pesakit kanser tahap 4 bernama Liu Lian Hui yang berasal dari Taiping. Pada tahun 2008, penyakit kanser limpa beliau telah merebak teruk, dan doktor meramalkan jangka hayat beliau hanya tinggal kira-kira 3 bulan sahaja. Namun suatu keajaiban telah berlaku apabila dalam tempoh masa kira-kira 2 minggu, penyakit kanser beliau telah sembuh hampir sepenuhnya, iaitu dalam lebih kurang 90 peratus. Beliau telah berjaya mengubati diri sendiri dengan mengamalkan minuman jus daun belalai setiap hari semasa tempoh 2 minggu tersebut. Memang sebuah kisah yang cukup luar biasa. Sebenarnya sejak dari tersebarnya cerita inilah, khasiat daun belalai gajah mula tersohor di serata Malaysia.

Selain daripada membeli produk kesihatan yang mengandungi ekstrak daun belalai gajah, ramai yang mengamalkan meminum air rebusan daun belalai gajah. Anda boleh juga membuat sendiri jus daun belalai gajah di rumah. Jus homemade ini boleh dibuat dengan mengisar daun belalai gajah dengan setengah cawan air, 2 ke 3 ketul ais batu dan suku buah lemon (untuk mencegah oksidasi) di dalam pengisar. Daun perlu dibasuh terlebih dahulu, tetapi elakkan membasuh dengan air paip. Basuh dengan air mineral adalah lebih baik. Masukkan juga potongan epal hijau yang telah dibuang kulit dan bijinya. Selepas dikisar, jus ini haruslah terus diminum kerana dikhuatiri khasiat yang terkandung dalam daun belalai gajah itu akan berkurangan jika dibiarkan lebih dari 5 minit.

Kuantiti daun belalai gajah yang perlu diambil untuk menyembuhkan kanser bergantung kepada tahap kanser yang dialami oleh pesakit. Semakin tinggi tahap kanser yang dihidapi, kuantiti daun belalai gajah yang perlu diambil juga semakin bertambah. Contohnya pesakit kanser tahap 1 (stage 1 cancer) memadai mengambil dalam 30 helai daun belalai gajah sehari tetapi penghidap kanser tahap 4 (stage 4 cancer) perlu mengambil dalam 150 ke 200 helai daun ini setiap hari. Apabila sudah terdapat tanda-tanda pesakit semakin pulih, maka kuantiti tersebut haruslah dikurangkan secara perlahan-lahan.

Disarankan untuk meminum jus daun belalai gajah pada waktu awal pagi (seawal jam 3 atau 4 pagi) kerana inilah masa di mana sel-sel kanser di dalam badan dipercayai tidak terlalu aktif. Perlu ditekankan bahawa apabila mengamalkan minuman jus ini, pesakit harus berpantang dari mengambil beberapa jenis makanan yang tertentu seperti makanan yang mengandungi gula, madu, ikan, ayam, durian, keladi, beras pulut, sarang burung, ginseng dan sebarang herba lain.

Sebenarnya khasiat daun belalai gajah bukan hanya bertumpu kepada merawat penyakit kanser semata-mata. Daun belalai gajah juga efektif dalam membantu mengatasi pelbagai masalah kesihatan yang lain seperti kolesterol tinggi, tekanan darah tinggi, penyakit Alzheimers dan Parkinson, asid urik berlebihan, kencing manis, batu karang dan masalah saluran darah tersumbat. Di samping itu, pengambilannya juga berkesan membuang toksin-toksin di dalam badan, menyembuhkan lebam dan bengkak serta menghilangkan keletihan. Panjang senarainya, namun khasiat daun belalai gajah tidak terhenti di situ. Pasti ramai yang tidak tahu bahawa di negara Thailand, daun ini turut digunakan sebagai ubat tradisional untuk merawat penyakit kulit seperti ruam kulit, ekzema, dermatitis dan cacar air (chicken pox). Lebih menarik lagi, sejak zaman dahulu ia turut digunakan dengan meluas di Thailand sebagai penawar untuk membuang racun bisa ular dan bisa kala jengking. Di negara China pula, daun belalai gajah digunakan sebagai ubat tradisional untuk meyembuhkan sakit sendi, anemia, penyakit kuning dan untuk menstabilkan kitaran haid yang tidak tetap.

Permintaan terhadap daun belalai gajah ternyata kian meningkat dari hari ke sehari, maka tidak hairanlah jika kini terdapat pengusaha yang mengusahakan penanaman pokok ini secara komersil untuk dipasarkan pada skala besar. Walaupun masyarakat barat masih belum memberi pengiktirafan terhadap keberkesanan herba tradisional ini, ternyata ramai pesakit-pesakit di Malaysia telah mengalami perubahan positif yang sangat ketara setelah mengamalkan pengambilannya secara konsisten. Harus diakui bahawa kemasyhuran daun belalai gajah banyak bergantung kepada testimoni yang diberikan oleh pesakit-pesakit seperti ini. Namun hakikatnya kesan daun belalai gajah tidak sama bagi semua orang. Tahap keberkesanannya berbeza-beza, bergantung kepada pelbagai faktor dalaman dan luaran yang lain.


Herba tradisional yang bukan calang-calang ini mempunyai rahsia kehebatannya yang tersendiri sebagai rawatan alternatif kepada perubatan moden. Pengambilannya untuk tujuan perubatan adalah suatu jalan ikhtiar untuk memberi harapan kepada pesakit-pesakit, terutamanya pesakit-pesakit kanser, untuk pulih seperti sediakala. Malah pengambilannya tidaklah terhad kepada mereka yang sakit sahaja, sesiapapun digalakkan mengambil jus daun belalai gajah untuk mengekalkan kesihatan yang baik. Memandangkan masih ramai yang ragu-ragu tentang keberkesanan herba ini, penyelidikan lanjut wajar dijalankan tentang khasiat daun belalai gajah. Dengan adanya bukti kajian saintifik, tidak mustahil daun belalai gajah akan diterima dan digunakan dengan meluas di seluruh dunia pada masa akan datang.